Sahabatku yang papa, jika engkau mengetahui, bahawa Kemiskinan yang
membuatmu sengsara itu mampu menjelaskan pengetahuan tentang Keadilan
dan pengertian tentang Kehidupan, maka engkau pasti berpuas hati dengan
nasibmu.
Kusebut pengetahuan tentang Keadilan : Kerana orang kaya terlalu
sibuk mengumpul harta utk mencari pengetahuan. Dan kusebut pengertian
tentang Kehidupan : Kerana orang yang kuat terlalu berhasrat mengejar
kekuatan dan keagungan bagi menempuh jalan kebenaran.
Bergembiralah, sahabatku yang papa, kerana engkau merupakan
penyambung lidah Keadilan dan Kitab tentang Kehidupan. Tenanglah, kerana
engkau merupakan sumber kebajikan bagi mereka yang memerintah
terhadapmu, dan tiang kejujuran bagi mereka yang membimbingmu.
Jika engkau menyedari, sahabatku yang papa, bahawa malang yang
menimpamu dalam hidup merupakan kekuatan yang menerangi hatimu, dan
membangkitkan jiwamu dari ceruk ejekan ke singgahsana kehormatan, maka
engkau akan merasa berpuas hati kerana pengalamanmu, dan engkau akan
memandangnya sebagai pembimbing, serta membuatmu bijaksana.
Kehidupan ialah suatu rantai yang tersusun oleh banyak mata rantai yang berlainan. Duka merupakan salah satu mata rantai emas antara penyerahan terhadap masa kini dan harapan masa depan. Antara tidur dan jaga, di luar fajar merekah.
Sahabatku yang papa, Kemiskinan menyalakan api keagungan jiwa,
sedangkan kemewahan memperlihatkan keburukannya. Duka melembutkan
perasaan, dan Suka mengubati hati yang luka. Bila Duka dan kemelaratan
dihilangkan, jiwa manusia akan menjadi batu tulis yang kosong, hanya
memperlihatkan kemewahan dan kerakusan.
Ingatlah, bahawa keimanan itu adalah peribadi sejati Manusia. Tidak dapat ditukar dengan emas; tidak dapat dikumpul seperti harta kekayaan. Mereka yang mewah sering meminggirkan keimananan, dan mendakap erat emasnya.
Orang muda sekarang jangan sampai meninggalkan Keimananmu, dan hanya
mengejar kepuasan diri dan kesenangan semata. Orang-orang papa yang
kusayangi, saat bersama isteri dan anak sekembalinya dari ladang
merupakan waktu yang paling mesra bagi keluarga, sebagai lambang kebahagiaan
bagi takdir angkatan yang akan datang. Tapi hidup orang yang senang
bermewah-mewahan dan mengumpul emas, pada hakikatnya seperti hidup
cacing di dalam kuburan. Itu menandakan ketakutan.
Air mata yang kutangiskan, wahai sahabatku yang papa, lebih murni
daripada tawa ria orang yang ingin melupakannya, dan lebih manis
daripada ejekan seorang pencemuh. Air mata ini membersihkan hati dan
kuman benci, dan mengajar manusia ikut merasakan pedihnya hati yang
patah.
Benih yang kautaburkan bagi si kaya, dan akan kau tuai nanti, akan
kembali pada sumbernya, sesuai dengan Hukum Alam. Dan dukacita yang
kausandang, akan dikembalikan menjadi sukacita oleh kehendak Syurga. Dan
angkatan mendatang akan mempelajari Dukacita dan Kemelaratan sebagai
pelajaran tentang Kasih Sayang dan Persamaan.
~ Khalil Gibran
(Dari ‘Suara Sang Guru’)
Diterjemahkan dari Bahasa Indonesia-Inggeris kepada Bahasa Melayu oleh Adriana Adelina Abadi.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar